18 April 2011

Puyuh

      Pemiharaan puyuh pedaging tidak memerlukan kawasan yang besar. Ini adalah kerana saiz puyuh jauh lebih kecil dari penternakan unggas lain seperti ayam. Walaupun demikian keperluan pemeliharaan adalah lebih kurang sama dengan penternakan ayam. 

      Didalam pemilihan tapak kawasan penternakan sebaiknya kawasan ladang hendaklah jauh dari kawasan perumahan dan ladang-ladang unggas yang lain. Kawasan hendaklah bebas dari banjir dengan mempunyai kemudahan jalan bagi pengangkutan barangan dari luar ke ladang dan sebaliknya. Tanah berbukit tiada halangan kecuali perlu diratakan bagi setiap kawasan bangsal yang perlu didirikan. Kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik perlu diambil kira didalam pemilihan kawasan.

      Keperluan bangsal adalah tertakluk kepada kumpulan ternakan atau kekerapan pengeluaran puyuh pedaging. Sebagai contoh, bagi pengusaha yang hendak mengeluarkan puyuh pedaging seminggu sekali keperluan bangsal hendaklah sekurangnya lapan. Ini berdasarkan sistem penternakan sekali gus masuk sekali gus keluar bagi setiap bangsal. Begitu juga bagi keperluan kawasan. Sais bangsal untuk memuatkan 10,000 ekor puyuh adalah 10 meter lebar x 21 meter panjang dan 3.6 meter tinggi dengan luas kawasan pemeliharaan sekor sebanyak 210 sentimeter persegi. Berikan jarak sekurangnya 15 meter antara 2 bangsal. Kawasan penternakan perlu dipagar untuk mengelakan gangguan dari ternakan atau binatang lain. Puyuh masih lagi mempunyai sifat terkejut dan 'excitability' yang boleh menjejaskan prestasi.

      Bagi penternakan puyuh pedaging pada lazimnya pengusaha digalakan menjalankan aktiviti sembelihan dan menjual puyuh secara bersih proses. Dengan cara ini pengusaha diperlukan mengadakan logi pemprosesan sendiri. Logi ini hendaklah berjauhan dari kawasan penternakan. Bangunan yang diperlukan bergantung kepada jumlah pemprosesan yang hendak dijalankan. Bilik sejuk atau peti sejuk perlu diadakan untuk penyimpanan stok puyuh proses.